Belanjawan Sarawak 2027 diyakini perkukuhkan pembangunan luar bandar

KUCHING: Belanjawan Sarawak 2027 yang akan dibentang Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada hari ini diyakini akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, selain itu, turut memperkukuhkan pembangunan kawasan bandar.

Menurutnya, Premier Sarawak dalam mesyuarat prapersidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Jumaat lalu memberi gambaran positif prestasi hasil Kerajaan Sarawak 2026 yang dijangka mencatatkan pencapaian tertinggi dalam sejarah negeri.

“Perkembangan ini tentunya memberikan keyakinan lebih banyak inisiatif dan manfaat dapat disalurkan kepada rakyat, khususnya masyarakat luar bandar,” katanya dalam kenyataan semalam.

Selain meneruskan pembangunan infrastruktur asas luar bandar selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030), beliau yakin pendidikan, pembangunan belia, pertanian dan keusahawanan antara sektor diberi penekanan.

Bagi kawasan DUN N.57 Tellian, Royston berkata, keutamaannya ialah memastikan kesinambungan projek infrastruktur asas.

“Ini termasuk jalan perhubungan luar bandar, peluasan liputan bekalan air bersih, elektrik dan telekomunikasi serta penambahbaikan sistem saliran dan tebatan banjir di kawasan sering terjejas,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkasakan industri pelancongan di Bahagian Mukah menerusi projek pembangunan berskala besar.

Katanya, ia berpotensi mengubah landskap bandar itu dengan memanfaatkan kelebihan demografi, sejarah dan keunikan budaya tempatan.

Royston berharap Belanjawan Sarawak 2027 dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan projek cekap dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.

Pembangunan seimbang dan inklusif akan terus menjadi keutamaan pimpinan Premier Sarawak.