Sarawak perkukuhkan pembangunan atlet selepas SUKMA

KUCHING: Kerajaan Sarawak komited memastikan pembangunan atlet negeri tidak terhenti selepas Sukan Malaysia (SUKMA).

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, ia diteruskan melalui program pembangunan jangka panjang hingga ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Pendekatan ini turut memberi penekanan kepada pendidikan serta peluang kerjaya bagi menjamin masa depan atlet selepas bersara daripada sukan kompetitif.

“Atlet berpeluang membina kerjaya dalam pelbagai bidang termasuk kejurulatihan, fisioterapi, pemakanan sukan dan pengurusan sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Royston Valentine (GPS-Tellian) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Gerald berkata, penganjuran Sukan SEA 2027 yang menyaksikan Sarawak menjadi tuan rumah bagi 18 jenis sukan bakal membuka lebih banyak peluang kepada atlet tempatan untuk bersaing pada peringkat antarabangsa.

Selain itu, ujarnya, kerajaan turut menyokong penganjuran kejohanan antarabangsa termasuk Kuching Maraton, Karnival Berbasikal Layar, dan Kejohanan Boling Belia Dunia IBF bagi meningkatkan pendedahan atlet tempatan.

Dalam masa sama, jelasnya, pembangunan pusat latihan sukan dilaksanakan berdasarkan keperluan dan potensi bakat setempat, termasuk pemusatan latihan bola tampar di Sibu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, seramai 56 atlet Zon Tengah mewakili Sarawak pada SUKMA Selangor 2026, membabitkan acara olahraga, silat, judo, angkat berat, bola keranjang dan bola tampar.

“Kerjasama antara Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), persatuan sukan dan institusi pendidikan terus diperkukuhkan.

“Langkah ini bagi melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi,” katanya.