KUCHING: Pengesanan awal disleksia penting bagi memastikan kanak-kanak mendapat sokongan pembelajaran sesuai dengan keperluan mereka.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, disleksia bukan petunjuk kecerdasan rendah atau sikap malas sebaliknya merupakan kesukaran khusus dalam kemahiran membaca dan mengeja.
“Kanak-kanak disleksia mampu belajar membaca, menamatkan persekolahan, melanjutkan pengajian ke universiti dan membina kerjaya yang baik sekiranya menerima kaedah pengajaran serta sokongan yang tepat sejak awal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Antarabangsa Disleksia dan Ketidakupayaan Pembelajaran Sarawak (SIDLDC) 2026, di sini, hari ini.
Kajian Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 2015 mendapati kira-kira enam daripada setiap 100 murid Tahun Tiga di 10 sekolah di Kuching berkemungkinan mengalami disleksia.
Kajian pada 2022 terhadap 99 guru pelatih sekolah rendah pula mendapati kira-kira satu pertiga daripada mereka kurang mengetahui fakta asas mengenai disleksia dan kaedah pengendaliannya.
Fatimah berkata, kesukaran pembelajaran yang tidak dikenal pasti boleh menjejaskan keyakinan diri, menyebabkan keciciran pendidikan dan mengakibatkan potensi kanak-kanak tidak dapat dikembangkan sepenuhnya.
Beliau turut menggesa golongan profesional kesihatan, penyelidik, majikan dan pertubuhan masyarakat bekerjasama menyediakan sokongan yang bersesuaian kepada individu disleksia.
Persatuan Disleksia Sarawak yang ditubuhkan 2007 membantu lebih 500 kanak-kanak dan orang dewasa sehingga 2019 dengan pusat pembelajaran dan sumber terbaharunya mula beroperasi di bangunan baharu pada September lalu.
