KUCHING: Seminar EmpowerUS 2026 menghimpunkan hampir 200 pemimpin, profesional, pengamal, penggubal dasar dan alumni bagi berkongsi ilmu serta perkembangan kecerdasan buatan (AI).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, program itu membuka peluang kepada peserta bertukar pengalaman mengenai kemajuan teknologi antarabangsa.
“Pengetahuan tersebut boleh dimanfaatkan bagi memastikan golongan profesional Sarawak mengikuti perkembangan teknologi global.
“AI dan teknologi digital kini mengubah cara manusia bekerja, berkomunikasi serta membuat keputusan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan seminar anjuran Persatuan Alumni Universiti Ohio Cawangan Malaysia (OUAAMC) dengan kerjasama beberapa organisasi di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Bertemakan Memperkasa Pemimpin: Kepimpinan Mampan, Berdaya Tahan dan Beretika. seminar itu turut menampilkan penceramah dari Ohio University dan Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya menerima peruntukan RM4.355 bilion menerusi Belanjawan 2027, meningkat empat peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Peruntukan itu bagi memperkukuhkan perlindungan sosial, kepimpinan wanita serta kesejahteraan keluarga dan masyarakat,” katanya.
Turut hadir Penasihat Persatuan Penggalakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak,
Datu Dr. Rashidah Bolhassan dan Penasihat Kanan kepada Provos bagi Hal Ehwal Global,
Profesor Dr. Haley Duschinski.
Pengarah Urusan Kumpulan Salihin International, Dato’ Dr.Salihin Abang, Pengarah Pusat Kepimpinan Global, Universiti Ohio, Amerika Syarikat (USA), Dr. Richard Kraince, Penasihat OUAAMC, Prof. Dr. Habibah Ashari dan Presiden OUAAMC, Prof. Dr. Mohad Anizu Mohd Nor turut hadir. – NORAIDA ABDUL KASSIM /JIWA BAKTI
