5,000 kes keganasan rumah tangga direkodkan tahun ini

KUCHING: Kira-kira 5,000 kes keganasan rumah tangga direkodkan tahun ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri.

Menurutnya, bilangan itu sekali gus menunjukkan keperluan meningkatkan kesedaran wanita mengenai hak dan perlindungan diri masing-masing.

Justeru, tegasnya, pemerkasaan ekonomi wanita penting bagi membolehkan mereka berdikari serta tidak terlalu bergantung kepada pasangan.

“Kebebasan kewangan dapat meningkatkan keyakinan wanita untuk mempertahankan hak dan melindungi diri daripada penderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian seminar anjuran Persatuan Alumni Universiti Ohio Cawangan Malaysia (OUAAMC) dengan kerjasama beberapa organisasi di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Nancy berkata, setakat ini tiada arahan penutupan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) dikeluarkan.

Sebaliknya, ujar beliau, ibu bapa diberi pilihan untuk menghantar anak ke pusat asuhan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan semua aktiviti luar melibatkan kanak-kanak perlu dielakkan demi keselamatan dan kesihatan mereka.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya mendapatkan rawatan segera sekiranya anak mereka menunjukkan gejala sakit. -NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI