KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan mengambil kira keperluan calon baharu serta kesinambungan kepimpinan parti.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pemilihan calon merupakan urusan kepimpinan tertinggi parti.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak, berkata, dalam setiap pilihan raya, mesti ada calon yang diganti.
“Kita juga perlu mengambil kira keperluan calon wanita dan golongan muda dalam kepimpinan parti,” katanya ketika ditemui media selepas Pertandingan Penulisan DayakDaily dan Pelancaran Buku Cerita Rakyat Sarawak Edisi Pertama, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pertukaran calon penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan selain memberi ruang kepada pemimpin baharu untuk berkhidmat kepada rakyat.
Katanya, semua kerusi perlu diberi perhatian tanpa menganggap mana-mana kawasan sebagai kerusi yang mudah dimenangi.
“Tiada sesiapa yang tidak boleh diganti.
“Kita perlu menghormati pengundi dan memastikan mereka mendapat wakil rakyat yang terbaik,” tambahnya.
Beliau berkata, keputusan mengenai calon dan pembahagian kerusi antara parti komponen GPS akan diserahkan kepada kepimpinan tertinggi gabungan itu. – AYLA MEDINA/ JIWA BAKTI
