BETONG: Warga PPD Betong menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) diingatkan agar terus meningkatkan prestasi, selain menjadi inspirasi dan penanda aras kepada rakan sejawat yang lain.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr. Mohammad Razi Sitam berkata, APC merupakan simbol penghargaan kerajaan terhadap kualiti kerja, integriti dan kesungguhan warga pendidikan dalam menjalankan tugas.
“Penganugerahan APC bukan sekadar pengiktirafan dalam bentuk sijil atau hadiah, sebaliknya merupakan simbol penghargaan kerajaan terhadap kualiti kerja, integriti dan kesungguhan warga pendidikan dalam menjalankan tugas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penganugerahan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PPD Betong di Dewan Perpaduan, Debak hari ini.
Seramai 142 warga pendidikan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 dan Majlis Jasamu Dikenang bagi Pesara Tahun 2026 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Betong.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas merakamkan tahniah kepada semua penerima APC atas kecemerlangan, komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab sepanjang perkhidmatan mereka.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Dato’ Omar Mahli, Pegawai Pendidikan Daerah Betong, Anis Madeli, wakil Pengerusi Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak, Nur Liana Lim Abdullah serta Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia Daerah Betong, Minggu Ujak.
