GEDONG: Kerajaan Sarawak akan memperkukuhkan perancangan kesihatan berasaskan data penyakit mengikut lokaliti, kata Premier Sarawak.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu bagi memastikan intervensi yang dilaksanakan lebih bersasar dan menepati keperluan sebenar masyarakat di setiap kawasan.
“Pendekatan menerusi Program Pengawasan Penyakit Sarawak (DSP) yang dilaksanakan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) membolehkan penyelidikan dijalankan bagi mengenal pasti corak penyakit,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis pelancaran DSP, Kampung Lubok Buntin, di sini hari ini.
Menurut beliau, dapatan penyelidikan itu penting bagi membolehkan kerajaan menyelaraskan dasar dan pendekatan kesihatan dengan keadaan sebenar di sesuatu kawasan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong itu lagi, program berkenaan turut menggunakan makmal bergerak bagi membantu kerja pengambilan sampel di lapangan, sekali gus membolehkan penyelidik mendapatkan data yang lebih tepat mengenai keadaan kesihatan masyarakat.
Ini katanya telah dilaksanakan di kawasan Kampung Lubok Buntin dan pemerhatian awal menunjukkan petunjuk berkaitan risiko jangkitan cacing yang boleh dikaitkan dengan faktor kebersihan dan pemakanan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Dapatan sedemikian katanya, membolehkan usaha pendidikan kesihatan serta langkah pencegahan dirancang mengikut risiko dan keperluan penduduk.
Justeru ujar Premier, program DSP akan diteruskan ke kawasan lain termasuk Kuching dan Serian, dengan penyelidikan mengikut lokaliti menjadi antara pendekatan untuk memahami corak penyakit dan memperkukuh perancangan kesihatan di Sarawak.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Wakil Khas ADUN Gedong Dato Sri Mohammad Naroden Majais, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Daerah Gedong Jamain Wahab. – UKAS
