Alet Sarawak menang pingat SUKMA 2026 bakal terima insentif hujung tahun

KUCHING: Kerajaan Sarawak bakal mengagihkan insentif berjumlah lebih RM1 juta kepada atlet Sarawak yang memenangi pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII 2026.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata insentif itu berjumlah RM15,000 bagi setiap pingat emas yang dimenangi manakala RM5,000 bagi pingat perak dan RM3,000 bagi pingat gangsa.

“Insentif tambahan RM1,000 disediakan kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod kejohanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Abdul Karim menjelaskan, pengiraan insentif itu bagi acara berpasukan pula akan menggunakan formula sama seperti dilaksanakan ketika SUKMA 2024 di Sarawak.

Beliau juga berharap insentif ini dapat disalurkan sebelum penghujung tahun ini dan sekiranya boleh pada November depan.

Menurutnya, atlet Para SUKMA turut menerima insentif pada kadar yang sama seperti atlet SUKMA hasil persetujuan bersama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.