Sarawak peruntuk RM18 juta pendidikan awal kanak-kanak 2027

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntuk RM18 juta pada 2027 bagi memperkukuhkan akses dan kualiti pendidikan serta pengasuhan awal kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, daripada jumlah itu, RM4 juta disediakan bagi Subsidi Yuran Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

“Manakala RM14 juta lagi diperuntuk bagi Geran Tahunan Khas kepada institusi pendidikan awal kanak-kanak yang berdaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementerian beliau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Fatimah menambah, Kerangka Dasar Pendidikan dan Pengasuhan Awal Kanak-Kanak Sarawak (ECCE) sedang dibangunkan oleh kementeriannya.

Pembangunan tersebut ujarnya, bagi memperkukuhkan penyelarasan antara agensi, pengendali dan komuniti.

Inisiatif itu bertujuan memastikan sistem pendidikan awal kanak-kanak lebih inklusif, berkualiti dan menyeluruh.

Sementara itu, ujarnya, Sarawak turut mencatat pencapaian memberangsangkan apabila 98.9 peratus murid Tahun Satu mengikuti pendidikan prasekolah sebelum memasuki sekolah rendah.

Manakala, Pusat Intervensi Awal Sehenti (OSEIC) telah membantu 1,368 kanak-kanak sepanjang tempoh 2020 hingga Mei 2026, katanya.

“Daripada jumlah itu, seramai 518 kanak-kanak menamatkan program intervensi.

“Ini termasuk 145 yang memasuki Tahun Satu aliran perdana,” jelasnya.

Selain itu, ujarnya, seramai 1,559 kanak-kanak daripada 92 prasekolah SeDidik juga telah menjalani saringan perkembangan setakat 6 Oktober 2026.

Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa kementeriannya akan terus memperkukuhkan pengesanan awal, intervensi dan pendidikan inklusif.

“Langkah ini bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang perkembangan yang terbaik,” jelasnya.