Jabatan persekutuan terima surat Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu

KUCHING: Jabatan dan agensi persekutuan di negeri ini menerima surat ditulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan berkata, pihaknya menerima surat terbabit jika menggunakan bahasa yang lain.

“Kita terima surat ditulis sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dan sekiranya dihantar dalam bahasa lain pun kita akan cuba untuk layan dan dapatkan terjemahan yang sesuai,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 di Ibu Pejabat JBPM Sarawak, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya perlu memahami hak dan keistimewaan Kerajaan Sarawak dalam hubungan dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau mengulas kekeliruan masyarakat Sarawak mengenai bahasa yang perlu digunakan untuk menulis surat kepada jabatan Kerajaan Persekutuan.

“Dia berbeza (Sarawak dengan Semenanjung) jadi harapan dan hasrat Perdana Menteri agak jelas dan ketua-ketua jabatan perlu mengambil langkah-langkah sepatutnya,” tambahnya.

Sementara itu mengenai persiapan agensi persekutuan bagi menghadapi Monsun Timur Laut di Sarawak, Ahmad Nadzri berkata setelah diberikan talimat, beliau berpuas hati dengan persiapan JBPM Sarawak.