KUCHING: Semua perkara yang dituntut Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah hak yang sewajarnya berdasarkan perjanjian asal dan Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman menegaskan apa yang dituntut oleh Sabah dan Sarawak selama ini bukanlah perkara-perkara baharu.
“Apatah lagi tuntutan-tuntutan tersebut adalah berdasar dan berlandaskan kepada apa yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963, merupakan perjanjian yang dimeterai bagi penubuhan Malaysia.
“Tanpa perjanjian tersebut tidak mungkin wujudnya sebuah negara bernama Malaysia.
“Kita juga harus sedar bahawa Perjanjian Malaysia 1963 telah dirujuk sebagai instrumen Perlembagaan di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, ia turut membuktikan betapa pentingnya perjanjian tersebut dalam menentukan hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Sementara itu, katanya mengenai soal minyak dan penubuhan PETROS, perkara ini juga adalah berlandaskan kepada undang-undang yang ada pada Sarawak seperti Ordinan Perlombongan Minyak 1958 dan Ordinan Pengagihan Gas 2016.
“Begitu juga dalam soal pendidikan dan penggunaan bahasa Inggeris di Sarawak. Perkara ini sudahpun termaktub dalam Perenggan 17 Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 sejak dari dulu lagi,” jelasnya.