KUCHING: Karnival Eksplorasi Pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) N8 Satok menjadi platform untuk meningkatkan kemahiran belia dan anak muda negara dalam aliran sains.
Karnival STEM edisi kedua yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang di sini, berjaya menarik minat kira-kira 2,000 orang yang terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA), ibu bapa dan masyarakat sekitar.
Menerusi pembudayan STEM di sekolah juga memberi kesedaran dalam kalangan murid dan pelajar, guru dan masyarakat mengenai kepentingan STEM sebagai elemen penting dalam kehidupan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki berkata, STEM merupakan tonggak dasar kerajaan untuk mendedah dan membangunkan generasi muda seiring dengan perkembangan semasa yang menjurus kepada digital ekonomi dan penguasaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
“Oleh itu, pembudayaan STEM dalam kalangan generasi muda khususnya murid dan pelajar sekolah perlu diterapkan sehingga ke peringkat lebih tinggi.
“Ini kerana, generasi muda kita sekarang berpotensi menjadi saintis nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Karnival Eksplorasi Pendidikan STEM di SK Merpati Jepang.
Karnival sehari itu anjuran bersama SK Merpati Jepang, Biro Pendidikan N8 Satok dan UiTM Samarahan.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya pameran planetarium, pameran karbon, gerai jualan dan makanan, eksplorasi STEM, cabutan bertuah, saringan kesihatan percuma dan aktiviti lain.
Semasa karnival itu, ADUN Satok itu tertarik kerana pelajar darjah empat sudah pandai menerangkan mengenai hidrogen dan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
“Kecergasan anak-anak muda seumpama ini dimahukan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke arah memajukan Sarawak,” katanya.