Hadiah lumayan menanti juara perlumbaan Sibu Power Boat

SIBU: Selepas sekian lama menyepi, Sungai Batang Rajang kini kembali berkocak dengan penganjuran perlumbaan Sibu Power Boat Race yang bermula hari ini.

Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Johsua Ting berkata, kali terakhir cara sukan itu diadakan 2010.

“Acara pada kali ini turut mendapat penyertaan dari negara Brunei, ini acara antarabangsa.

“Kita berharap lebih banyak tajaan dari pelbagai pihak untuk menjadikan acara ini lebih besar tahun depan,” katanya selepas merasmikan ‘Soft-Opening Sibu Power Boat Race’ di Sibu Rejang Esplanade Sibu dan Jalan Khoo Peng Loong.

Acara sukan anjuran bersama Persatuan Perpaduan Sungai Merah dan Persatuan Sukan Permotoran Sibu itu berlangsung dari 2 hingga 5 November.

Lebih 200 bot sudah mendaftar untuk bersaing dalam lapan kategori yang dipertandingkan dengan hadiah berjumlah RM48,250.

Lapan kategori ialah 5hp terbuka, 18hp bot panjang, 18hp tunnel bot, 30hp 2 cyl tunnel bot, 30hp 3 cyl tunnel bot, SST-45 formula light, 50hp tunnel bot dan SST-60 pro kelas terowong bot.