KUALA LUMPUR: Kerajaan komited memastikan operasi Pelabuhan Bintulu tidak terjejas dengan penukaran status kepada Pelabuhan Sarawak.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, ini dalam mengubal Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pengisytiharan suatu Kawasan dalam Daerah Bintulu menjadi suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 dan RUU Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 berkaitan penukaran status terbabit.
“Kerajaan juga komited dengan penggubalan RUU ini bagi melaksanakan penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri Sarawak dan memastikan pembangunan dan operasi Pelabuhan Bintulu tidak terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Akta Pengisytiharan Suatu Kawasan Dalam Daerah Bintulu menjadi Suatu Pelabuhan Persekutuan (Pemansuhan) 2024 untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara.
Hasbi berkata, ini juga bagi memastikan kepentingan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak membabitkan sudut perundangan, kewangan dan sumber manusia terpelihara.
Katanya, dua RUU itu akan dikuatkuasakan setelah keseluruhan perkara berkaitan, rundingan dan persetujuan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dimuktamadkan.