Cadangan masukkan Sibu Power Boat dalam kalendar pelancongan

SIBU: Cadangan memasukkan Sibu Power Boat dalam Kalender Pelancongan Sarawak akan memberikan kelebihan kepada Sibu.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, ini untuk menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negara.

Katanya, bagi tujuan itu pihaknya turut sama membantu dengan adanya Timbalan Menteri (Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan), Dato Gerald Rentap Jabu di Sarawak.

“Banyak perkara yang perlu kita tingkatkan untuk menarik pelancong dan pihak-pihak antarabangsa,” katanya selepas merasmikan acara sukan air itu di Sibu Rejang Esplanade dan Jalan Khoo Peng Loong, hari ini.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu sedia membantu pihak persatuan untuk mengangkat sukan berkenaan ke peringkat lebih tinggi.

“Sibu telah lama dikenali sebagai tuan rumah kepada sukan air dan sering kali terkenal dengan acara regata dan bot berkuasa tinggi.

Sibu Power Boat Race anjuran bersama Persatuan Perpaduan Sungai Merah dan Persatuan Sukan Permotoran Sibu itu bermula dari 2 hingga 5 November.

Acara itu mendapat sambutan dan hampir 200 bot mendaftar untuk bersaing dalam lapan kategori yang dipertandingkan dengan hadiah berjumlah RM48,250.

Lapan kategori tersebut ialah 5hp terbuka, 18hp bot panjang, 18hp tunnel bot, 30hp 2 cyl tunnel bot, 30hp 3 cyl tunnel bot, SST-45 formula light, 50hp tunnel bot dan SST-60 pro kelas terowong bot.