BINTULU: Nilai eksport pelet kayu Sarawak meningkat 92.29 peratus pada 2023 iaitu berjumlah RM44.474 juta berbanding RM23.129 juta, 2022.
Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (STIDC), Zainal Abidin Abdullah berkata, nilai eksport itu dijangka terus meningkat pada tahun ini dan setakat tiga suku pertama 2024, nilai eksport itu telah mencecah RM60.469 juta.
Peningkatkan itu menunjukkan minat pasaran terutama dari negara seperti Perancis, Jepun dan Korea, katanya ketika mengemaskini industri berkaitan potensi Penggunaan Biomas Untuk Produk Nilai Tambah di sini.
Beliau berkata, industri biomas menyokong ekonomi circular dengan menjamin penggunaan optimum bahan mentah.
Ia sejajar dengan usaha di peringkat global untuk menangani perubahan iklim dan memupuk kelestarian dengan mengurangkan kesan ke atas alam sekitar, katanya.
Majlis itu turut dihadiri penceramah terkemuka dari Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM), Dr. Mahanim Sarif, Dr. Rafidah Jalil, Dr. Tumirah Khadiran dan Puad Elham untuk berkongsi pengalaman mengenai potensi sumber biomas di Sarawak.
Zainal Abidin berkata, Sarawak yang masih kaya dengan sumber asli terutama sisa pertanian dan yaku, boleh dijadikan bahan bakar alternatif kepada bahan bakar fosil.
Justeru, katanya, amat penting membina jaringan teguh dalam penyelidikan biomas dan mewujud kolaborasi antara kerajaan, industri dan ahli akademik bagi meningkatkan peranan Sarawak dalam pasaran tenaga diperbaharui.
Katanya, kelestarian pengeluaran arang daripada biomas tempatan akan membantu membangunkan masyarakat dan menyumbang kepada pengurangan perlepasan gas rumah hijau.
Dengan menggunakan biomas sebagai bahan bakar, katanya, pelepasan karbon akan dapat dikurangkan dan memberi manfaat dari segi kewangan kepada pihak pemegang taruh.
Kerjasama penyelidikan antara STIDC dan FRIM menunjukkan biomas Sarawak mengandungi bahan terbaik untuk menghasilkan pelet tenaga yang boleh ditingkatkan lagi melalui teknologi terkini.