KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) akan menyediakan sebanyak 12,000 kontena Sumbangsih Raya 2024 (SR24) menjelang Aidilfitri ini.
Kontena SR24 terbabit akan diserahkan kepada 11 agensi iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APNM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, majlis pembungkusan SR24 yang mengandungi kacang botak, serunding daging, kek buah dan minuman 3 in 1 akan diadakan Dewan Utama, JWKS di sini pada 13 Mac depan.
“Ini akan membabitkan wakil daripada agensi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang turut sama membantu,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Induk SR24 di Wisma Wanita, di sini, hari ini.
Fatimah berkata, Majlis Simbolik Penyerahan SR24 akan diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Wisma Bapa Malaysia di sini pada 15 Mac depan.
Katanya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menyerahkan SR24 kepada wakil daripada 11 agensi pada majlis itu.
Beliau berkata, selepas itu, pihaknya akan mengadakan Ziarah SR24 ke pejabat atau kem agensi penerima dari 19 hingga 20 Mac depan.
