Kerajaan Sarawak sumbang dana RM300,000 kepada SABATI

KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju menyumbang dana sebanyak RM300,000 kepada Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-isteri (SABATI).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sumbangan itu boleh membantu badan amal tersebut bagi memastikan kerja amal yang dirancang diteruskan.

“Kita yakin ia dapat digunakan sebaik mungkin untuk menghulur bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik khususnya pelajar di luar bandar,” katanya di majlis perasmian Galeri Laila di Wisma SABATI, di sini.

Abang Johari berkata, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) milik Kerajaan Sarawak berjaya menjadi syarikat minyak ketiga terbesar di Malaysia dan pihaknya berkongsi hasil itu dengan menyumbang dana kepada SABATI.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud menyatakan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) menjadikan SABATI rakan kerjasama strategik Program Impak Sosial mereka.

Menerusi kerjasama itu, PETRONAS menyalurkan RM1.3 juta kepada SABATI bagi membantu menaik taraf secara berperingkat keperluan perubatan asas di 26 klinik kesihatan di luar bandar Sarawak.

“Setakat ini, projek rintis di Klinik Nanga Mujau Betong berjaya dibangunkan dengan jayanya dan dirasmikan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas 6 Oktober lalu,” katanya.

Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

GAMBAR:JABATAN PREMIER SARAWAK