KAPIT: Perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak harus dipertahankan demi kesejahteraan rakyat, menurut Menteri Kerja Raya Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi.
Katanya, tanpa kesefahaman yang kukuh akan menghalang tumpuan dan usaha memajukan taraf ekonomi rakyat dan pembangunan infrastruktur di negeri ini.
“Sikap toleransi rakyat dari pelbagai latarbelakang kaum dan agama di negeri ini menjadikan Sarawak terus kekal harmoni dan menikmati pelbagai pembangunan yang dapat disaksikan hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Penyerahan Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) anjuran Pusat Khidmat Parlimen P. 215 Kapit di Rahmat Cafe, Lobby Hotel Meligai, di sini.
Dalam hal ini, Ahli Parimen Kapit itu menyaran masyarakat pelbagai lapisan menghormati agama dan adat setiap kaum yang ada di negeri ini.
Sebanyak 45 sekolah termasuk 38 persatuan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang menerima cek berjumlah keseluruhan RM735,800 pada majlis tersebut.
