KUCHING: Pendedahan awal terhadap teknologi dan inovasi menjadi fokus lawatan 35 pelajar Seng Kang Secondary School, Singapura, ke TEGAS Digital Village, baru-baru ini.
Menurut kenyataan TEGAS, kunjungan tersebut bertujuan memberi pengalaman langsung kepada pelajar luar negara mengenai pembangunan ekosistem digital dan inovasi yang sedang giat dijalankan di Sarawak.
“Lawatan ini juga menjadi platform pertukaran ilmu serta mendorong minat generasi muda terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM),” jelas kenyataan itu.
Sepanjang lawatan, para pelajar dan guru diberi taklimat mengenai peranan TEGAS dalam menyokong pembangunan bakat muda serta dibawa melawat fasiliti utama di Perkampungan Digital berkenaan.
Delegasi dari Singapura itu turut berpeluang menyaksikan pameran interaktif STEM yang mempamerkan pelbagai projek dan inovasi hasil anak muda tempatan.
Menurut TEGAS, inisiatif seperti ini membuktikan komitmen berterusan pihaknya dalam memperkukuh pendidikan digital dan menginspirasi generasi muda melalui inovasi serta pembelajaran berasaskan teknologi.
