KOTA SAMARAHAN: Perkongsian strategik antara syarikat telekomunikasi dengan institusi pengajian tinggi (IPT) dan pusat perabatan akan membolehkan negara menerokai model baharu telekesihatan, latihan perubatan secara visual dan penyelidikan data bercirikan klinikal.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, dengan memiliki keupayaan 5G Celecomdigi dan kecerdasan buatan (AI), ilmu pengetahun kini diterjemahkan kepada keadaan di dunia sebenarnya.
“MediRover iaitu unit telekesihatan bergerak dan MediDoc- platform konsultasi secara visual sedia menyediakan akses kepada jagaan kesihatan,” katanya ketika pada Majlis Pelancaran Telehealth & MediRover kerjasama CelcomDigi dan Hospital Pengajar UNIMAS di Pusat Kesihatan Prima, Hospital Pengajar UNIMAS (HPU-UNIMAS), di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyambut baik kerjasama strategik CelecomDigi, UNIMAS dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi menjayakan program telekesihatan itu.
Beliau berkata, perkongsian strategik itu membolehkan pihak hospital dan institusi penyelidikan di seluruh negara menerokai bidang baharu dalam menyediakan jagaan kesihatan kepada masyarakat.
Ini adalah contoh perkongsian yang diperlukan oleh kerajaan, katanya dan menegaskan, dalam perkongsian itu cendekiawan menyediakan inovasi dan kepakaran dan industri berkaitan menyediakan khidmat teknologi.
Pelancaran telekesihatan itu, tambahnya, memberi makna signifikan kepada masyarakat kerana tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan khidmat kesihatan di klinik dan doktor pakar.
Beliau berkata, jagaan kesihatan tetap menjadi tonggak penting dalam agenda pembangunan kerajaan dan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) kerajaan bertekad mentransformasi bidang kesihatan supaya semua lapisan masyarakat mendapat akses bidang perubatan secara saksama dan berkemampuan.
Kerajaan, katanya, memperuntukkan lebih RM40 bilion dalam RMK-13 yang memberi fokus kepada usaha memperluaskan perkhidmatan kesihatan, meningkatkan kemudahan kesihatan awam dan mentransformasi sektor kesihatan kepada digital.
Kolaborasi antara UNIMAS dan CelecomDigi mencerminkan pendekatan bercirikan kepada semua lapisan masyarakat yang diperjuangkan oleh kerajaan, katanya.
Teknologi, kata Fadillah, memain peranan mentransformasi penjagaan kesihatan dan melalui Halatuju Ekonomi Digital Negara (MyDIGITAL) dan rancangan 5G, kerajaan berhasrat menyampaikan khidmat kesihatan lebih cepat kepada 80 peratus kawasan berpenduduk menjelang 2026.
