KUCHING: Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) meluluskan sebanyak 44 projek pembangunan bernilai RM5.995 bilion di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri PETRA, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata projek terbabit terbahagi kepada sebanyak 11 projek baharu dan 33 projek sambungan.
“Fokus pembangunan (projek) seperti tebatan banjir, pencegahan hakisan pantai, pemuliharaan sungai, bekalan air dan pembetungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Malam Media PETRA 2025 di sini, malam tadi.
Fadillah juga mendedahkan sebanyak RM24.7 bilion diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk projek tebatan banjir di seluruh negara, termasuk di Sarawak.
Memgenai projek bekalan air di Sarawak yang dilaksana dalam Rancangan Boleh Pinda Kelima (RP5) RMK12 katanya, terdapat lapan projek pinjaman bernilai RM1.43 bilion.
Ini termasuk Loji Rawatan Air (LRA) Landeh, naik taraf LRA Nyabau, Bintulu, program pengurangan
Program Air Tidak Terhasil (NRW) Sarawak dan pembaikan sistem agihan paip air di seluruh negeri.
“Projek-projek ini untuk memperkukuh infrastruktur air Sarawak demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Mengenai malam media, Fadillah menambahkata pengamal media merupakan rakan komunikasi strategik kerajaan untuk menyebarluaskan maklumat dan dasar-dasar kerajaan agar sampai ke peringat akar umbi.
“Terima kasih atas sokongan berterusan media cetak, elektronik dan media atas talian kepada PETRA dan agensi berkaitan,” tambah beliau.
Katanya, terdapat 770 pengamal media berdaftar dengan 28 agensi di Sarawak iaitu enam kerajaan, 17 tempatan, lima atas talian dan ini berdasarkan rekod terkini Jabatan Penerangan.
Ini membuktikan kekuatan ekosistem media di Sarawak sekali gus mempereratkan hubungan PETRA dan media, katanya.
Hadir sama Ahli Parlimen Igan yang juga Pengerusi Indah Water Konsortium (IWK), Ahmad Johnie Zawawi, Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) PETRA, Mareena Mahpudz, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Dato’ Mohd Norhisham Musa, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Ir Mohamad Radzi Abdul Talib, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Dato’ Ahmad Faizal Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK Konsortium Sdn Bhd., Narendran Maniam.
