LIMBANG: Projek Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH) yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak mencerminkan dasar pembangunan lestari di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memperkukuh rangkaian perhubungan negeri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pendekatan moden berteraskan teknologi tinggi dan lestari itu mencerminkan transformasi besar dalam kejuruteraan jalan raya negeri dengan menumpukan kepada penggunaan teknologi hijau demi kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, bagi kawasan tanah gambut di Limbang dan Lawas, kerajaan menggunakan konsep jalan bertiang (elevated road) bagi melindungi struktur tanah semula jadi yang berfungsi sebagai penyimpan karbon semula jadi.
“Pendekatan itu bukan sahaja memelihara alam sekitar, malah membuka peluang kepada perdagangan karbon pada masa depan.
“Jika tanah gambut diganggu, karbon akan dilepaskan ke atmosfera. Dengan kaedah ini, kita mengekalkan alam semula jadi dan dalam masa sama membina infrastruktur moden,” katanya ketika melancarkan projek itu di sini, hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan NCH akan mengubah landskap ekonomi kawasan pesisir mempercepat perhubungan, menarik pelaburan serta merancakkan sektor pelancongan di utara Sarawak.
Projek NCH sepanjang 87.96 kilometer itu dijangka siap pada 2030 meliputi dua jajaran utama di Limbang dan Lawas serta merangkumi pembinaan 13 jambatan termasuk satu jambatan ikonik, 44 perhentian bas dan empat kawasan rehat dan khidmat (R&R).
Projek Lebuhraya Pesisir Utara terap teknologi HIM, kekalkan alam sekitar
LIMBANG: Penggunaan Highway Information Modelling (HIM) dalam pembinaan Projek Lebuh Raya Pesisir Utara bukti komitmen Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan pembangunan infrastruktur secara moden dan lestari tanpa menjejaskan alam semula jadi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, HIM merupakan pendekatan baharu yang mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan tidak mengorbankan alam sekitar, seiring dengan visi Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.
Menurutnya, pendekatan ini bukan sahaja memastikan kelestarian alam sekitar malah membolehkan data penting disimpan secara sistematik bagi tujuan penyelenggaraan jangka panjang.
“Teknologi HIM berfungsi melalui simulasi digital yang membolehkan setiap komponen jalan raya direka bentuk dan dianalisis lebih awal termasuk kesan terhadap persekitaran, struktur tanah serta laluan utiliti.
“Yang penting, kita tidak boleh membangunkan negeri dengan mengorbankan keindahan alam sekeliling.
“Kawasan Lawas sememangnya indah, maka pembinaan ini menggunakan teknologi HIM bagi memastikan kerja-kerja dijalankan tanpa menjejaskan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Lebuhraya Pesisir Utara, di Lapangan Rekreasi Limbang di sini hari ini.
Katanya, teknologi HIM turut memberi kelebihan dari segi pemantauan dan penyimpanan data utiliti seperti bekalan elektrik, air serta telekomunikasi yang ditempatkan dalam satu koridor khas sekaligus memudahkan proses penyelenggaraan pada masa hadapan.
“Kita kini menggunakan kaedah yang baharu, moden dan sistematik. Selain memastikan pembangunan dijalankan secara lestari HIM juga membolehkan kita menyimpan data berhubung laluan utiliti dalam satu koridor khas yang akan memudahkan kerja penyelenggaraan,” katanya lagi.
Projek Lebuhraya Pesisir Utara bernilai lebih RM6 bilion itu mencakupi pembinaan jalan empat lorong dari Limbang ke Lawas, lengkap dengan jambatan berreka bentuk ikonik serta sistem ‘exchange terminal’ berasaskan ciri keselamatan terkini bagi kemudahan pengguna jalan raya.
Pelaksanaan projek tersebut merupakan satu lagi bukti komitmen kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak untuk mempercepat pembangunan infrastruktur luar bandar selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta dif kenamaan lain.
