Projek NCH guna teknologi kejuruteraan jalan raya terkini

LIMBANG: Projek Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH) bakal menggunakan teknologi Maklumat Lebuh Raya (HIM) yang terkini dalam bidang kejuruteraan jalan raya.

Projek NCH menghubungkan Sarawak, Sabah dan Brunei Darussalam bernilai RM6.8 bilion dibiayai sepenuhnya Kerajaan Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, teknologi itu membolehkan perancangan dan pembinaan NCH dilakukan berdasarkan data sebenar topografi termasuk simulasi digital terhadap pergerakan tanah serta kestabilan struktur.

“Jalan raya ini menggunakan teknologi HIM terutamanya di kawasan berbukit seperti Limbang dan Lawas,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Projek NCH, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, penggunaan tiang berteknologi tinggi dan struktur berasaskan simulasi digital akan memastikan jalan raya kekal stabil walaupun dibina di kawasan tanah lembut atau berbukit.

Terdahulu Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah berkata pelaksanaan projek NCH ini merupakan penjenamaan semula kepada pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) yang menghubungkan seluruh Sarawak.

Katanya, projek ini pernah dibatalkan semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan dahulu tetapi atas inisiatif Premier Sarawak, projek ini diteruskan dengan pendekatan lebih moden dan lestari alam sekitar.

Bagi projek NCH untuk sektor di Limbang memerlukan 3000 pekerja yang seharusnya dimanfaat oleh belia tempatan di Limbang dan Lawas.