Sarawak jangka lebih empat juta pelancong menjelang akhir tahun ini

KUCHING: Sarawak dijangka menerima lebih empat juta pelancong menjelang akhir 2026 meskipun sasaran lima juta pengunjung masih belum dapat dipastikan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, negeri itu merekodkan kira-kira 3.5 juta pelancong sehingga September lalu.

“Untuk tempoh September hingga Disember, saya yakin jumlah pelancong boleh melebihi empat juta tetapi pencapaian sasaran lima juta masih belum pasti,” katanya ketika ditemui media selepas Perasmian Regata Sarawak, Festival Tepian Sungai 2026, di sini, hari ini.

Menurut beliau, peningkatan harga tiket penerbangan susulan konflik di Timur Tengah antara faktor yang menyukarkan pencapaian sasaran pelancong.

Bagaimanapun, penerimaan pelancongan Sarawak kekal memberangsangkan dengan hasil pelancongan direkodkan melebihi RM1 bilion setiap bulan dari Januari hingga September.

Beliau berkata, pengunjung yang menghadiri persidangan turut menyumbang kepada hasil pelancongan melalui perbelanjaan sepanjang berada di Sarawak.

Abdul Karim berkata, walaupun sasaran jumlah pelancong mungkin sukar dicapai prestasi hasil pelancongan yang direkodkan memberikan gambaran positif kepada sektor berkenaan.