KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang meneliti cadangan membuka laluan penerbangan terus antara Kuching dan Kuantan melalui syarikat penerbangan milik negeri, AirBorneo.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah ini bertujuan memperkukuh jaringan pengangkutan domestik serta memudahkan mobiliti antara kedua negeri.
Katanya, inisiatif ini bukan sahaja memudahkan perjalanan, malah membuka ruang untuk promosi bersama dan pertukaran budaya antara Sarawak dan Pahang, seterusnya memperkenalkan keindahan alam serta warisan Malaysia kepada pelancong antarabangsa.
“Apabila penerbangan AirBorneo dimulakan, Kuching dan Kuantan akan dihubungkan secara langsung,” katanya pada majlis Malam Mesra Sarawak-Pahang yang diadakan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak malam tadi.
Majlis itu diserikan dengan kehadiran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Abang Johari menekankan bahawa kedua negeri kaya dengan khazanah alam dan budaya yang menarik minat pelancong.
“Sarawak juga memiliki dua Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Taman Negara Gunung Mulu dan Kompleks Gua Niah.
“Selain itu, negeri ini menempatkan 47 taman negara, 15 rizab alam semula jadi, lima santuari hidupan liar, serta Pusat Pemulihan Orangutan Semenggoh, menjadikannya destinasi eko-pelancongan bertaraf antarabangsa,” katanya.
