KUCHING: Seramai 192 pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dari Sarawak menerima manfaat pembiayaan yuran pengajian menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) setakat Jun lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Annuar Rapa’ee berkata, daripada jumlah itu, seramai 137 pelajar mengikuti pengajian di Kampus Universiti Teknologi Swinburne Sarawak.
Menurutnya, seramai 33 pelajar mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), 21 pelajar (Universiti Curtin Malaysia) dan seorang (Kolej Universiti i-CATS).
“Pemegang UEC layak dipertimbangkan untuk FTES tertakluk kepada syarat kemasukan akademik dan program yang ditetapkan universiti terlibat.
“Pemegang UEC perlu memperoleh sekurang-kurangnya lima gred B bagi mengikuti program ijazah sarjana muda, selain memenuhi syarat tambahan bagi kursus tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan See Chee How (BEBAS–Batu Lintang) pada Persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Annuar menjelaskan, kelulusan Bahasa Melayu tidak ditetapkan sebagai syarat wajib kemasukan bagi pemegang UEC berdasarkan syarat semasa universiti terlibat.
Bagaimanapun, ujarnya, pemohon masih perlu memenuhi syarat penguasaan Bahasa Inggeris serta keperluan khusus program pengajian masing-masing.
Tambahnya, pelajar UEC di bawah FTES turut menikmati peluang latihan industri dan penempatan praktikal yang sama seperti pelajar lain di universiti berkenaan.
