KUCHING: Pembinaan 22 jambatan mega di seluruh Sarawak merupakan hasil inisiatif Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah.
Tegasnya, pembinaan kesemua jambatan itu dibiayai sepenuhnya menggunakan dana Kerajaan Sarawak sendiri.
“Daripada keseluruhan 22 jambatan mega yang dirancang, sebanyak 14 jambatan telah siap dibina.
“Kesemua jambatan itu digunakan untuk kemudahan rakyat,” katanya dalam ucapan aluan Majlis Perasmian Jambatan Sejingkat di sini, malam ini.
Majlis perasmian disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, sebanyak 21 daripada 22 projek jambatan berkenaan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Tegas beliau, pembinaan jambatan tersebut membuktikan komitmen kepimpinan Premier Sarawak dalam mempertingkatkan jaringan infrastruktur serta memudahkan perhubungan rakyat di seluruh negeri.
Inisiatif itu juga ujarnya, membantu mengurangkan kebergantungan terhadap perkhidmatan feri, menjimatkan masa perjalanan serta merancakkan pembangunan sosioekonomi masyarakat.
