KUCHING: Seramai 224 kanak-kanak yang lahir di Sarawak didaftarkan sebagai bukan warganegara bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, jumlah itu berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Beliau berkata, antara ialah kanak-kanak didaftarkan sebagai bukan warganegara atau diberikan sijil kelahiran berwarna merah jambu ialah perkahwinan ibu bapa yang tidak didaftarkan atau tidak diiktiraf mengikut undang-undang Malaysia.
“Faktor lain termasuk ibu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta kes kanak-kanak dijumpai atau ditinggalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Johnical Rayong Ngipa (GPS-Engkelili) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini.
Fatimah berkata, beberapa langkah dilaksanakan bagi menangani isu berkenaan termasuk mengadakan sesi dialog bersama komuniti dan kempen kesedaran untuk menggalakkan pendaftaran perkahwinan secara sah.
Katanya, bantuan turut diberikan kepada ibu yang lahir di Sarawak tetapi tidak mempunyai dokumen pengenalan diri untuk mendapatkan dokumen berkenaan melalui prosedur ditetapkan.
“Bagi ibu bukan warganegara, mereka digalakkan mengurus dan mengemas kini dokumen perjalanan yang sah serta memastikan dokumentasi kelahiran anak diuruskan dengan teratur,” ujarnya.
Beliau berkata, bagi kanak-kanak yang dijumpai atau ditinggalkan, urusan pendaftaran perlu diselaraskan dengan pihak berkuasa berkaitan termasuk JPN bagi menentukan status dan dokumentasi mereka mengikut undang-undang.
Sementara itu, berdasarkan statistik JPN, sebanyak 2,010 kelahiran di Sarawak didaftarkan sebagai bukan warganegara bagi tempoh 2022 hingga Ogos 2026.
Daripada jumlah itu, sebanyak 363 kes direkodkan pada 2022, meningkat kepada 665 kes pada 2023 sebelum menurun kepada 418 kes pada 2024 dan 340 kes pada 2025.
Secara keseluruhan, sebanyak 147,561 pendaftaran kelahiran direkodkan di Sarawak sepanjang tempoh berkenaan, termasuk 144,837 warganegara dan 713 kes yang status kewarganegaraannya belum ditentukan.
