KUCHING: Seramai 3,500 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan program Farley Riang Ria 2.0 yang berlangsung di pasar raya tersebut, di sini, hari ini.
Pengarah Farley Kuching, Eiyen Lau berkata, penganjuran program itu bertujuan mengeratkan hubungan kekeluargaan, menggalakkan gaya hidup sihat serta memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, Farley bukan sekadar pusat membeli-belah, tetapi turut berperanan sebagai tempat komuniti berkumpul, berinteraksi dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
“Kami mahu Farley menjadi tempat keluarga berkumpul, kanak-kanak menjalinkan persahabatan dan masyarakat daripada pelbagai latar belakang berinteraksi antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Farley Riang Ria 2.0 yang turut dihadiri dan dirasmikan pelepasan peserta oleh Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk larian santai empat kilometer, senamrobik zumba, permainan interaktif, cabutan bertuah dan pameran kenderaan.
Program itu turut menyediakan pemeriksaan kesihatan oleh Pusat Perubatan Borneo (BMC), pemeriksaan pergigian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pameran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Penganjuran program yang mendapat tajaan utama Mayora Malaysia menerusi jenama Le Minerale itu mencerminkan komitmen Farley Kuching dalam membina komuniti yang lebih sihat, harmoni dan bersatu padu. – NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
