Graduan UiTM miliki kebolehpasaran, penuhi pasaran kerja pelbagai sektor

SAMARAHAN: Kebolehpasaran graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak secara keseluruhannya mencecah 88 peratus.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa Profesor Madya Dr Mohammad Isa Mohamadin berkata, pencapaian ini membuktikan bahawa graduan universiti itu mampu memenuhi pasaran kerja dalam pelbagai sektor.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan graduan supaya mempunyai daya pemikiran kritis, berkepimpinan dan semangat kerja berpasukan di samping mampu menguasai bahasa asing dengan baik.

“Graduan juga perlu mempersiapkan diri dengan mempelajari ilmu lain selain bidang utama untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya semasa Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-98 di UiTM Kampus Sarawak di sini, hari ini.

Istiadat itu di sempurnakan Pro-Canselor UiTM, Datuk Abdul Wahab Aziz.

Seramai 1,260 graduan dan daripada jumlah itu 530 orang menerima ijazah sarjana muda manakala 730 graduan lagi menerima diploma.

Beliau berkata, universiti itu pula memastikan program pengajian yang ditawarkannya mencapai standard bagi membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Hasil usaha ini dapat dilihat melalui penarafan yang diterima UiTM apabila 13 bidang (pengajian) berjaya tersenarai dalam QS World University Rankings by Subject 2023,” katanya.

Katanya, antaranya bidang Pengurusan Hospitaliti yang berada dalam kedudukan 100 terbaik dunia, manakala bidang Perakaunan dan Kewangan berada dalam kedudukan 300 terbaik dunia.

Gambar ihsan: Unit Komunikasi Korporat, UiTM Cawangan Sarawak