Juara Bintang P. Ramlee 2026 bawa pulang RM20,000

KUCHING: Persembahan mantap menerusi lagu Derita membawa tuah kepada Mohamad Faghrul Azhar Mohamad Zabandi atau lebih dikenali sebagai Rul Azhar dari Zon Utara apabila dinobatkan sebagai juara Kemuncak Bintang P. Ramlee 2026.

Kejayaan itu menyaksikan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 beserta trofi dan sijil selepas berjaya menewaskan lima finalis lain pada pertandingan yang berlangsung di Arena Gemilang, Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) malam tadi.

Sementara itu, Mahathir Zailani dari Zon Sarawak muncul naib juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM15,000, trofi dan sijil.

Tempat ketiga pula menjadi milik Jeffryzan Jamil dari Zon Sabah yang menerima hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi dan sijil.

Dalam pada itu, Mohd Ridzuan Md Taib dari Zon Selatan turut mencuri perhatian apabila meraih Anugerah Persembahan Terbaik dengan membawa pulang wang tunai RM2,000, trofi dan sijil.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah. – UKAS