Ekonomi Sarawak dijangka berkembang hingga 6% pada 2027

KUCHING: Ekonomi Sarawak diunjurkan berkembang antara 5.0 hingga 6.0 peratus pada 2027, didorong permintaan domestik yang kukuh serta pelaksanaan berterusan pelbagai projek pelaburan dan pembangunan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, unjuran itu menunjukkan prospek pertumbuhan lebih positif berbanding 2026 apabila ekonomi negeri dijangka berkembang antara 4.5 hingga 5.0 peratus, disokong pertumbuhan menyeluruh dalam sektor ekonomi utama.

“Perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan serta peningkatan permintaan luar dijangka terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan eksport negeri.

“Bagi 2026, sektor pembinaan diunjurkan mencatat pertumbuhan tertinggi sebanyak 9.2 peratus, diikuti sektor perkhidmatan 5.7 peratus serta perlombongan dan pengkuarian 4.6 peratus,”katanya.

Abang Johari berkata demikian semasa membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada hari pertama sidang DUN Sarawak di sini, hari ini, ini.

Sementara itu, jelasnya, sektor pertanian dijangka berkembang 2.4 peratus, manakala sektor pembuatan diunjurkan meningkat 2.3 peratus.

“Dari segi pelaburan, Sarawak berjaya merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM11.2 bilion dalam tempoh enam bulan pertama 2026, merangkumi sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama. ujarnya.

Prestasi perdagangan negeri turut menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah perdagangan bagi tujuh bulan pertama 2026 meningkat 12.3 peratus kepada RM117.1 bilion, katanya.

Daripada jumlah itu, katanya, eksport meningkat 14.7 peratus kepada RM79.2 bilion, manakala import bertambah 7.6 peratus kepada RM38 bilion, sekali gus mencatat lebihan dagangan sebanyak RM41.2 bilion.

Abang Johari menambah, kutipan hasil negeri sehingga September 2026 mencecah RM10.732 bilion atau 82 peratus daripada sasaran tahunan.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak turut menyemak unjuran hasil keseluruhan 2026 kepada RM13.571 bilion berbanding anggaran asal RM13.049 bilion.

Bagaimanapun, jelasnya, prospek ekonomi negeri masih terdedah kepada ketidaktentuan global, termasuk turun naik harga komoditi, perkembangan geopolitik serta cabaran ekonomi luar.

Justeru, tegasnya, usaha memperkukuhkan daya tahan fiskal, mempelbagaikan sumber ekonomi dan meningkatkan daya saing negeri kekal menjadi keutamaan bagi memastikan kemakmuran jangka panjang Sarawak.