Sarawak sasar pengiktirafan antarabangsa pelancongan perubatan

KUCHING: Sarawak berhasrat memperkukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan perubatan bertaraf antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia menawarkan perkhidmatan kesihatan berkualiti, kepakaran profesional dan tahap kepercayaan tinggi.

Jelasnya, usaha itu memerlukan peningkatan berterusan dalam mutu rawatan, pengalaman pesakit, kemudahan teknologi serta kerjasama strategik antarabangsa.

“Kecemerlangan industri pelancongan perubatan bukan hanya bergantung kepada perkhidmatan hospital.

“Sebaliknya turut merangkumi kemudahan pengangkutan, hospitaliti dan keseluruhan pengalaman pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala dan Anugerah Kecemerlangan Pelancongan Perubatan Borneo Global MediTourism (BGMT)2026 di Hotel Waterfront, di sini, malam ini.

Tegasnya, Sarawak mahu menarik keyakinan pesakit antarabangsa, membuka peluang pelaburan serta memperkukuhkan kerjasama dengan negara jiran bagi membangunkan ekosistem penjagaan kesihatan serantau.

Justeru, beliau berharap anugerah kecemerlangan yang diperkenalkan buat julung kalinya menerusi program BFMT berkenaan dapat dijadikan acara tahunan bagi mengiktiraf inovasi, kepimpinan dan sumbangan industri.

Beliau turut berharap anugerah berkenaan berkembang menjadi platform pengiktirafan serantau dan antarabangsa.

Langkah ini sekali gus mengangkat nama Sarawak serta Borneo dalam industri pelancongan perubatan global.

Enam penerima pengiktirafan itu ialah Dr. Kenny Yeap Kim Pey atas sumbangan dalam perkhidmatan kesihatan dan Innoquest Pathology bagi kecemerlangan diagnostik.

Sarawak Media Group (TVS) pula diiktiraf atas promosi pelancongan perubatan, manakala Datuk Dr. Kuljit Singh atas kepimpinan dalam sektor hospital swasta.

Turut diiktiraf ialah AirBorneo bagi usaha meningkatkan akses penerbangan dan rawatan kesihatan serta Datu Hii Chang Kee atas sumbangan dalam pembangunan pelancongan perubatan Sarawak. – NORAIDA ABDUL KASSIM/ JIWA BAKTI