Diskaun bil elektrik 25% diteruskan

KUCHING: Lebih 700,000 pengguna domestik di Sarawak bakal terus menikmati diskaun bil elektrik 25 peratus sepanjang 2027.

Pengurangan itu sekali gus membantu mengurangkan perbelanjaan bulanan isi rumah.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata,
Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM281 juta bagi mengekalkan pengurangan itu.

“Kerajaan turut meneruskan subsidi bil air RM5 sebulan yang dijangka memanfaatkan kira-kira 600,000 pengguna domestik, melibatkan peruntukan RM35 juta.

“Selain itu, sebanyak RM650 juta diperuntukkan bagi Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), dengan penerima layak masing-masing menerima RM1,100 bagi isi rumah, RM600 bagi warga emas dan RM375 bagi golongan bujang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Bagi kebajikan keluarga katanya, kerajaan menyediakan RM15 juta untuk Endowment Fund Sarawak, RM5 juta bagi Bantuan Ibu Bersalin dan RM45.9 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak untuk pelbagai bantuan kebajikan.

“Sektor kesihatan menerima RM14.2 juta bagi bantuan perubatan dan pesakit buah pinggang, manakala RM50 juta diperuntukkan untuk meneruskan skim manfaat kesihatan warga emas yang menyediakan rawatan pesakit luar tanpa tunai sehingga RM500 setahun bagi individu yang layak.

“Kerajaan turut memperuntukkan RM12 juta bagi Bantuan Ihsan Kematian menerusi Kenyalang Gold Card, dengan bantuan RM1,800 kepada keluarga yang kehilangan ahli keluarga.

“Selain itu, RM1.4 juta disediakan bagi Tempat Transit Gelandangan, RM1 juta untuk Pusat Komuniti Keperluan Khas, RM850,000 bagi Pusat Sokongan Sosial Komuniti dan RM300,000 untuk penubuhan Rumah Peralihan Komuniti di Sibu,” jelasnya.