Parti PBB Jepak bantu mangsa kebakaran Rumah Jam Arin

BINTULU: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.67 Jepak menyampaikan bantuan keperluan asas kepada dua keluarga yang terjejas kebakaran bilik di Rumah Jam Arin, KM 1 Jalan Samarakan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian, kira- kira 8 pagi Ahad lalu, sebuah bilik musnah dalam kebakaran itu yang membabitkan dua keluarga dengan seramai 13 ahli keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee diwakili Penolong Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.67 Jepak, Meor Iswandy Marzuki, bersama Ketua Pemuda Parti PBB DUN Jepak, Franky Sibat menyampaikan bantuan keperluan asas kepada keluarga terbabit.

Iskandar berkata, beliau bersimpati dengan musibah yang menimpa kedua-dua keluarga itu dan berharap semua mangsa diberikan kekuatan serta ketabahan untuk menghadapi dugaan berkenaan.

Beliau turut berharap segala urusan keluarga terbabit dipermudahkan, selain bantuan sewajarnya dapat disalurkan bagi meringankan beban mereka dalam memenuhi keperluan harian selepas kejadian berkenaan.