SALCRA berpotensi terokai industri bahan api penerbangan mampan

KUCHING: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) berpotensi menjadi antara pemain baharu dalam rantaian industri bahan api penerbangan mampan (SAF) berasaskan sisa kelapa sawit.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kejayaan meneroka bidang tersebut bukan sahaja memberi nilai tambah kepada industri kelapa sawit, malah berpotensi mewujudkan sumber ekonomi baharu untuk Sarawak.

“Bayangkanlah kalau kita berjaya dalam apa yang disebut sebagai hybrid aviation fuel, SALCRA mungkin menjadi seperti Aramco di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Gala Jubli Emas sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 SALCRA di Imperial Hotel, di sini, malam tadi.

Abang Johari berkata, potensi itu wajar dikaji sebagai langkah memperluaskan skop perniagaan SALCRA, yang selama ini turut bergantung kepada pengeluaran baja dan biojisim.

Menurutnya, sisa kelapa sawit mempunyai nilai ekonomi yang boleh dimanfaatkan melalui penggunaan teknologi, sekali gus membuka peluang kepada pembangunan industri hiliran baharu di Sarawak.

“Antara potensi yang boleh dikaji ialah penggunaan asid lemak yang terhasil daripada kelapa sawit digabungkan dengan hidrokarbon dalam menghasilkan bahan api penerbangan,” ujarnya.

Katanya, sekiranya kajian dan teknologi berkenaan berjaya dibangunkan, ia berpotensi mentransformasikan keseluruhan landskap perniagaan SALCRA.

“Ini hanya satu cadangan dan perlu dibuat penyelidikan, tetapi sekiranya berjaya, ia boleh mentransformasikan keseluruhan perniagaan SALCRA,” ujarnya lagi.

Tambahnya, penerokaan industri baharu itu selaras usaha Sarawak meningkatkan nilai tambah sumber sedia ada serta bergerak ke arah ekonomi moden dan berasaskan teknologi.