1,059 permohonan jawatan baharu KMKK dinilai

KUCHING: Sebanyak 1,059 permohonan pewujudan jawatan baharu Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di seluruh Sarawak kini dalam proses penilaian dan penelitian lanjut sebelum dikemukakan untuk pertimbangan serta kelulusan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, jumlah itu termasuk permohonan bagi beberapa kawasan di Daerah Lundu yang diteliti berdasarkan keperluan serta syarat umum pewujudan jawatan baharu.

“Sarawak ketika ini mempunyai 7,710 jawatan rasmi KMKK, merangkumi 671 jawatan Ketua Masyarakat dan 7,039 jawatan Ketua Kaum.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 641 jawatan KMKK berada di Bahagian Kuching, termasuk 129 jawatan di Daerah Lundu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Azizul Annuar Adenan (GPS-Tanjong Datu) pada sidang DUN Sarawak di sini, hari ini.

Jelasnya, antara kriteria jawatan baharu KMKK ialah pertambahan penduduk, penempatan baharu, keluasan bidang kuasa serta keperluan pentadbiran setempat.

“Bagi jawatan Penghulu, syarat yang ditetapkan termasuk sekurang-kurangnya 20 tuai rumah bagi masyarakat Iban.

“Atau dua Ketua Kaum bagi masyarakat lain, selain mengambil kira 500 pintu atau 2,000 penduduk,”jelasnya.

Sementara itu,ujarnya lagi, pewujudan jawatan Ketua Kaum memerlukan sesebuah kampung, rumah panjang atau kawasan penempatan mempunyai sekurang-kurangnya 20 pintu atau rumah.

Beliau turut menjelaskan bahawa dasar sedia ada menetapkan satu jawatan Temenggong bagi setiap kaum di sesebuah bahagian.

Manakala, satu jawatan Pemanca bagi setiap kaum di sesebuah daerah, adalah tertakluk kepada keperluan pentadbiran, jelasnya.