KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang membangunkan Miri sebagai hab gas strategik bagi merancakkan industri hiliran minyak dan gas, menarik pelaburan baharu serta mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat tempatan.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) dengan matlamat mewujudkan ekosistem gas dan tenaga bersepadu di wilayah utara Sarawak.
Katanya, Hab Miri disokong rangkaian infrastruktur bersepadu termasuk kemudahan pengeluaran gas di peringkat huluan dan daratan, kemudahan penerimaan gas serta loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti 500 megawatt (MW).
“Kemudahan lain termasuk fasiliti gas asli cecair (LNG) berskala kecil dan pengangkutan LNG menggunakan lori bagi memastikan bekalan gas serta tenaga elektrik yang diperlukan industri dapat disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Adam Yii Siew Sang (GPS-Pujut), pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Malcom berkata, Kerajaan Sarawak turut memperluaskan pengagihan gas domestik di Miri menerusi Sarawak Gas Distribution (SGD), yang kini membekalkan gas melalui saluran paip kepada 1,362 pelanggan komersial dan empat pelanggan industri.
“Perluasan rangkaian pengagihan itu dijangka menyokong pertumbuhan aktiviti komersial, perindustrian dan hiliran, serta memperkukuh potensi Miri sebagai pusat ekonomi berasaskan gas,” ujarnya.
Beliau berkata, pembangunan Hab Miri dijangka membuka peluang pelaburan merentasi rantaian nilai gas dan tenaga, termasuk aktiviti hiliran minyak dan gas, perkhidmatan medan minyak dan gas, LNG berskala kecil serta perkhidmatan berkaitan tenaga.
“Selain menarik pelaburan baharu, inisiatif itu turut memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk menyertai rantaian bekalan industri minyak dan gas, secara langsung meningkatkan penyertaan pemain industri tempatan dalam sektor berkenaan,” ujarnya.
Katanya, pembangunan itu juga dijangka mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Sarawak, selaras dengan usaha kerajaan negeri memperkukuh aktiviti ekonomi berasaskan gas dan tenaga.
