Pengambilalihan Pelabuhan Bintulu perkukuhkan sektor logistik Sarawak

KUCHING: Pengambilalihan sepenuhnya Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan membolehkan Kerajaan Sarawak memperkukuhkan pengurusan pelabuhan serta membangunkan rangkaian logistik secara bersepadu.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi berkata, langkah itu memastikan aset strategik negeri diurus demi kepentingan ekonomi dan hak Sarawak di bawah MA63.

Menurutnya, Pelabuhan Bintulu yang merupakan pintu masuk perdagangan utama dan hab eksport gas asli cecair (LNG) terbesar negara.

“Pelabuhan ini akan terus diperkasakan menerusi peningkatan kecekapan operasi, pemodenan infrastruktur serta pengukuhan sistem digital.

“Fokus utama kerajaan adalah memastikan kelangsungan operasi pelabuhan tanpa menjejaskan urusan pengguna dan rakan dagang.

“Pemantauan melalui Lembaga Pelabuhan Bintulu akan meliputi kecekapan operasi, kapasiti kargo, tahap perkhidmatan serta tempoh pengendalian kapal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ir. Christopher Gira Sambang (GPS- PRS) Tamin pada sidang DUN Sarawak di sini, hari ini.

Majang menambah, kerajaan memberi tumpuan kepada empat teras utama termasuk meningkatkan kapasiti Pelabuhan dan memodenkan proses kerja.

Ini termasuk mengadakan libat urus bersama pemain industri serta menyelaraskan pembangunan menerusi Pelan Induk Pelabuhan Sarawak, ujarnya.
“Dalam usaha mengintegrasikan pelabuhan di seluruh negeri, kerajaan turut merancang penyatuan pihak berkuasa pelabuhan di bawah satu badan kawal selia, iaitu Lembaga Pelabuhan Sarawak.

“Selain itu, penyusunan semula fungsi pelabuhan, penambahbaikan struktur tarif dan penaiktarafan infrastruktur akan dilaksanakan bagi meningkatkan daya saing industri maritim,”jelasnya.

Langkah tersebut katanya, dijangka memperkukuhkan keyakinan pelabur, melancarkan rantaian bekalan serta menjadikan Sarawak sebagai hab logistik penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang.