Sasaran 1,000 peserta hadiri Forum Antarabangsa Pertumbuhan Inklusif 2027

KUCHING: Kira-kira 1,000 peserta dari dalam dan luar negara dijangka menyertai Forum Antarabangsa Pertumbuhan Inklusif NAWEM (NIF) 2027 yang akan berlangsung pada 27 hingga 29 Januari 2027 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, forum itu membuka peluang kepada usahawan wanita tempatan memperluaskan jaringan perniagaan.

Menurutnya, forum tersebut turut meningkatkan pengetahuan dan kemahiran keusahawanan peserta.

“Kerajaan Sarawak juga berhasrat melibatkan usahawan wanita di bawah bimbingan kementeriannya, khususnya golongan B40 dan usahawan mikro.

“Penyertaan ini penting bagi memberi pendedahan kepada usahawan wanita untuk mempelajari pengalaman serta strategi perniagaan daripada mereka yang telah berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media pengenalan NIF 2027 di Pusat Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Tegas Fatimah lagi, antara cabaran utama usahawan wanita ialah akses kepada maklumat.

Selain itu, kemahiran pengurusan perniagaan, jaringan pasaran serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perkembangan ekonomi digital juga antara cabaran yang dihadapi, jelasnya.

Justeru, ujarnya, forum antarabangsa itu diharap membantu usahawan meningkatkan pendapatan, mencapai kebebasan ekonomi dan mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur NIF 2027, Datuk Jacqueline Fong berkata, forum akan menekankan pertumbuhan ekonomi inklusif dengan memastikan setiap lapisan masyarakat berpeluang menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

“Perbincangan akan merangkumi bidang pendidikan, kesihatan, perusahaan sosial, pengetahuan masyarakat pribumi dan alam sekitar.