Cuti gantian perlu jelas, mudah difahami

KUCHING: Penetapan cuti gantian yang jelas dan seragam penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pekerja dan majikan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.

Beliau berkata, pindaan Rang Undang-Undang Cuti Umum (Pindaan) 2026 perlu dilihat bukan sekadar urusan pentadbiran, tetapi turut melibatkan kebajikan pekerja dan kesejahteraan keluarga.

Menurutnya, undang-undang yang baik perlu jelas, mudah difahami dan dapat dilaksanakan secara konsisten oleh semua pihak.

“Walaupun perkara ini mungkin kelihatan kecil dari sudut pentadbiran, kesannya besar kepada rakyat, khususnya pekerja, majikan dan keluarga yang bergantung pada kepastian tarikh cuti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Cuti Umum (Pindaan) 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Mohamad Duri berkata, Ordinan Cuti Umum Sarawak yang berkuat kuasa sejak 16 Disember 1946 wajar disemak bagi memastikan peruntukannya terus memenuhi keperluan semasa.

Beliau menjelaskan, berdasarkan mekanisme yang dicadangkan, sekiranya cuti umum jatuh pada Ahad, Isnin berikutnya menjadi cuti gantian.

Jika Isnin turut merupakan cuti umum, Selasa pula menjadi hari gantian, melainkan ditentukan sebaliknya oleh Yang di-Pertua Negeri mengikut peruntukan pindaan berkenaan.

Beliau turut mengingatkan bahawa perbezaan tafsiran antara majikan dengan pekerja boleh menimbulkan masalah, terutama apabila melibatkan kelayakan cuti dan aturan kerja.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mempergiat penerangan mengenai pindaan tersebut kepada majikan, pekerja sektor swasta, perusahaan kecil dan sederhana serta pekerja syif.

Beliau menyatakan sokongan terhadap Rang Undang-Undang Cuti Umum (Pindaan) 2026 untuk diluluskan, sambil menegaskan bahawa kejelasan undang-undang perlu disusuli penerangan dan pelaksanaan yang adil demi kepentingan rakyat.