Usul meminda RUU Perpustakaan Negeri Sarawak 2026 dilulus

KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026.

Usul meminda RUU itu dibentangkan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.

RUU Pindaan itu, katanya, bertujuan meminda Ordinan Perpustakaan Negeri Sarawak 1999 (Bab 29) (Ordinan Utama) bagi memperkemaskan dan memodenkan tatakelola, fungsi dan pentadbiran Perpustakaan Negeri Sarawak.

Ordinan Utama, yang mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 1999, beliau berkata, memperuntukkan penubuhan Perpustakaan Negeri Sarawak sebagai tempat simpanan bagi penjagaan dan pemeliharaan bahan-bahan untuk rekod awam dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Menurut Roland, Ordinan Utama juga memperuntukkan fungsi dan kewajipan Perpustakaan Negeri, keanggotaan dan fungsi Lembaga, serta perkara-perkara berkaitan pentadbiran dan pengurusan Perpustakaan Negeri Sarawak.

Pertama, RUU Pindaan itu memperkenalkan dan memperjelaskan peranan Menteri yang bertanggungjawab ke atas Perpustakaan Negeri, tegas beliau.

Kedua, tambahnya, RUU Pindaan ini memberi kuasa secara nyata kepada Perpustakaan Negeri untuk menubuhkan, mengurus dan menyelenggara arkib peringatan.

Ketiga, RUU Pindaan ini bertujuan memperkemaskan dan memperjelaskan struktur tatakelola Perpustakaan Negeri dengan menggantikan kuasa Lembaga Multimedia Sarawak masing-masing kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri, katanya.

Keempat, kata Roland Sagah, RUU Pindaan ini memperjelas tatacara harta Kerajaan yang disediakan bagi kegunaan Perpustakaan Negeri boleh dihakikkan (vested) kepada Perpustakaan Negeri menggantikan Pihak Berkuasa sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 6 sedia ada Ordinan Utama.

Dan akhir sekali, RUU Pindaan ini memperkenalkan Seksyen 29A baharu bagi memberi kuasa kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, melalui pemberitahuan dalam Warta, untuk meminda Jadual-Jadual kepada Ordinan Utama, tegas beliau.