KUCHING: Pindaan ke atas Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak 2026 bukan hanya bersifat pentadbiran atau teknikal.
Sebaliknya, ia turut membawa makna yang lebih luas dalam memperkukuhkan usaha Sarawak untuk memelihara sejarah, warisan, rekod dan ingatan kolektif rakyat demi generasi akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, dengan sejarahnya masyarakat berbilang budaya, kepelbagaian bahasa, adat resam dan tradisi, perpustakaan memikul tanggungjawab sebagai pemegang amanah warisan intelek dan ingatan sejarah Sarawak.
“Pindaan ke atas RUU itu antara lain menyediakan tafsiran baharu bagi “arkib peringatan” sebagai arkib yang ditubuhkan untuk menempatkan, memelihara dan mempamerkan bahan bersejarah bagi memperingati sesuatu peristiwa, tokoh atau aspek sejarah,” katanya semasa membahas dan menyokong RUU Pindaan itu pada persidangan DUN di sini hari.
Lebih penting lagi, katanya, RUU itu memberi kuasa kepada Perpustakaan Negeri untuk menubuhkan, mengurus dan menyelenggara arkib peringatan.
ADUN Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii yang turut membahas dan menyokong RUU itu berkata, pindaan ini berpotensi meningkatkan kecekapan pentadbiradan melancarkan pengurusan Pustaka Negeri Sarawak melalui penghapusan kelulusan berperingkat.
Langkah ini dapat mempercepatkan proses membuat keputusan serta pelaksanaan program perpustakaan, katanya.
