Sarawak tuan rumah Perhimpunan Agung ICOMOS 17-24 Oktober ini

KUCHING: Sarawak bakal menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung dan Simposium Saintifik Majlis Antarabangsa mengenai Monumen dan Tapak (ICOMOS) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 17 hingga 24 Oktober ini.

Penganjuran julung kali di Asia Tenggara itu dijangka menghimpunkan 1,500 peserta komuniti warisan antarabangsa dari 110 negara

Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak (MUDENR) bersama agensinya, termasuk Sarawak Forestry Corporation (SFC), akan mengetengahkan usaha pemuliharaan warisan semula jadi.

Usaha itu turut merangkumi pemeliharaan biodiversiti dan pengurusan hutan secara mampan.

Antara pengisian utama ialah Pameran Warisan pada 19 hingga 22 Oktober yang dibuka kepada orang ramai dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang.

Program turut menampilkan inisiatif penanaman pokok dan pengimbangan karbon secara sukarela serta perkongsian pengetahuan mengenai pemuliharaan warisan.

Penganjuran itu sekali gus memperkukuhkan kedudukan Sarawak dalam usaha pemuliharaan warisan budaya dan alam semula jadi di peringkat antarabangsa.