KUCHING: Pelaksanaan projek pembangunan di Balingian perlu dipercepatkan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Dr Abdul Yakub Arbi.
Menurutnya, ini bagi memastikan kemudahan asas dan peluang ekonomi dapat dinikmati rakyat.
“Sebanyak RM833.5 juta diluluskan bagi pelaksanaan pelbagai projekpembangunan di kawasan itu.
“Jumlah tersebut termasuk RM122.5 juta bagi enam projek di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balingian yang dikategorikan sebagai projek sakit turut dipercepatkan selain meminta penjelasan mengenai status pembangunan Pusat Sub-Matadeng.
Beliau turut mengulangi cadangan menaik taraf Balingian daripada daerah kecil kepada daerah penuh bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran dan perkhidmatan kerajaan.
“Cadangan ini wajar diberikan pertimbangan berdasarkan keluasan kawasan dan perkembangan penduduk
“”Selain itu, peningkatan keperluan terhadap perkhidmatan kerajaan turut dipertimbangkan,” tegasnya.
Justeru, tegas beliau lagi, dengan status daerah penuh, segala urusan pentadbiran dapat diperkukuhkan dengan rakyat di kawasan tersebut tidak perlu bergantung kepada pusat pentadbiran yang terlalu jauh dari kawasan mereka.
Di samping itu, beliau mahu kerja menaik taraf Jalan Persekutuan Balingian–Sungai Anak yang menghubungkan Jalan Pan Borneo diberi perhatian, di samping penambahbaikan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi.
