KUCHING: Pembinaan benteng hakisan pantai dan pemecah ombak di Jepak, Bintulu, amat penting untuk mengurangkan kesan hakisan ombak terutamanya di kawasan Pusat Pentadbiran Bersepadu Bintulu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee mengesyorkan benteng itu dibina dari muara Batang Kemena hingga ke lokasi.
Katanya, ia merupakan cadangan untuk pembinaan masjid baharu berdekatan tapak perumahan kerajaan yang sedang dalam pembinaan.
Benteng itu dapat memperkukuhkan tebingan pantai bagi melindungi kejadian hakisan yang boleh menjejaskan kawasan IAC, perumahan kerajaan yang baharu dan tapak Masjid Bahagian Baru, katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahas dan menyokong Belanjawan 2027 pada persidangan DUN di sini hari ini.
Iskandar menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas usaha menaiktaraf jalan-jalan kampung yang memberi keselesaan kepada penduduk.
Bagi pekebun di Kuala Tatau, katanya, juga menikmati projek jalan kebun yang telah dluluskan oleh kerajaan untuk memudahkan mereka menghantar hasil pertanian lebih cepat ke pasaran.
Beliau turut memohon supaya projek Jalan Tatau ke Kuala Tatau Fasa satu sepanjang 6.6 kilometer (km) dari simpang Lebuh Raya Pan Borneo ke SK Kuala Annau dinaiktaraf kepada jalan berturap.
Jaringan jalan raya itu penting untuk menghubungkan penduduk dari pekan Tatau ke Kuala Tatau dan meningkatkan taraf hidup penduduk.
