Sidang DUN Sarawak luluskan RUU Perbekalan Tambahan 2026

KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2026) 2026 yang melibatkan perbelanjaan tambahan berjumlah RM120,003,793 selepas melalui bacaan kali ketiga.

RUU berkenaan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, bagi mendapatkan kelulusan perbelanjaan tambahan untuk menampung keperluan kewangan kerajaan negeri sepanjang tahun ini.

Uggah, yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua, berkata perbelanjaan tambahan itu diperlukan bagi menampung kos pelbagai perkhidmatan di bawah kementerian dan jabatan yang tidak diperuntukkan atau menerima peruntukan tidak mencukupi dalam Anggaran Perbelanjaan 2026 serta Anggaran Tambahan Pertama 2026.

Beliau menjelaskan, peruntukan tambahan berkenaan penting bagi memastikan keperluan kewangan bagi pelaksanaan perkhidmatan kerajaan dapat dipenuhi mengikut keperluan semasa.

RUU berkenaan mendapat sokongan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Kelulusan itu membolehkan perbelanjaan tambahan berkenaan disediakan bagi memenuhi keperluan kementerian dan jabatan berkaitan untuk tahun kewangan 2026.