Sarawak kenal pasti kawasan pertanian komersial di Bawang Assan

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengenal pasti kawasan bersesuaian bagi pembangunan pertanian komersial di Bawang Assan untuk meningkatkan pengeluaran makanan tempatan.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Datuk Martin Ben berkata, langkah itu merangkumi pembangunan projek pertanian berskala besar yang berdaya maju secara komersial.

“Kerajaan akan terus menilai dan mengenal pasti tanah serta kawasan berpotensi bagi pengeluaran makanan komersial termasuk projek pertanian berskala besar yang disokong infrastruktur, teknologi, pembiayaan dan hubungan pasaran yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato Sri Wong Soon Koh (GPS- Bawang Assan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Menurutnya, sumbangan petani di kawasan itu membantu memenuhi permintaan makanan tempatan.

Cadangan program dan projek berkenaan akan dikemukakan melalui Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) serta Zon Ekonomi Sibu untuk pertimbangan.

Dalam perkembangan berkaitan, kadar pengangguran siswazah di Sarawak direkodkan sebanyak 3.2 peratus pada 2024 berdasarkan data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Kerajaan Sarawak turut melaksanakan program Laluan Bakat, Program Latihan Peningkatan Graduan Sarawak – Program Kesediaan Kerja (GETS-WRP) dan Academi Dalam Industri (ADI) bagi menyediakan kemahiran yang memenuhi keperluan industri.

“Program pembangunan bakat ini memberi tumpuan kepada kemahiran dalam sektor ekonomi digital, tenaga hijau, hidrogen dan teknologi baharu supaya graduan serta tenaga kerja tempatan mempunyai kemahiran relevan untuk memenuhi keperluan industri semasa dan masa hadapan,” tambahnya.

Bagi 2025, kadar kebolehpasaran graduan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak ialah 98.95 peratus, diikuti University Teknologi Sarawak (UTS) sebanyak 92.11 peratus, Universiti Curtin Malaysia sebanyak 85.39 peratus dan Kolej Universiti i-CATS sebanyak 83.39 peratus.